Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali
menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud a.s sedang duduk dalam
suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor
ulat merah pada debu. Lalu Nabi Daud a.s. berkata pada dirinya, "Apa yang
dikehendaki Allah dengan ulat ini?"
Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata
begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah
itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud a.s. "Wahai Nabi Allah! Allah
s.w.t telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu
walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar' setiap
hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah
mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin
annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap
malam sebanyak 1000 kali.
Setelah ulat merah itu berkata demikian,
maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud a.s. "Apakah yang dapat kamu
katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?" Akhirnya Nabi Daud
menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia
sangat takut kepada Allah s.w.t. maka Nabi Daud a.s. pun bertaubat dan menyerah
diri kepada Allah s.w.t. Begitulah sikap para Nabi a.s. apabila mereka
menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan
bertaubat dan menyerah diri kepada Allah s.w.t. Kisah-kisah yang berlaku pada
zaman para nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai bahan sejarah, tetapi hendaklah
kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa
sahaja makhluk Allah yang berada di bumi yang sama-sama kita tumpangi ini.