Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah
menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan
suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah
bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam
wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus
mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah.
Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang
daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab
"Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit
supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin
Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan
memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi
Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit
"Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya
menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda
yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai
apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin
Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk
menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus
menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang
sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai
pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada
zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat
diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang
peliknya air tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka
luas.
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah,
Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi
Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas
kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah
menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda
tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana
asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda
tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila
melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya
kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya
"Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu
merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah
berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang
kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah
kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi
Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di
dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi
Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam
kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia
telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya
seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari
ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan
bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya
berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada
Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula
meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang
diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya
anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah
dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika pemuda
tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang
terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut .
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk
ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya
tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama
kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat
yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah
kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal
di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada
bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia
diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari
itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu
"Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab
"Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan
Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini
bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus
tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah
sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi
Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab
pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada
nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman
bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu
"Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun
memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke
tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya "Kamu semua telah
melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan
yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa
seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman
pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah
memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.