Yunus bin
Matta adalah seorang nabi yang di utuskan oleh Allah s.w.t untuk berdakwah di
sebuah tempat bernama Niwana. Nabi Yunus seorang pendatang ke Niwana
semata-mata atas perintah Allah s.w.t untuk berdakwah kepada penduduknya.
Nabi Yunus
mendapati penduduk Niwana merupakan manusia yang menyekutukan Allah dengan
menyembah berhala. Nabi Yunus mengajar mereka tentang ilmu tauhid dan keimanan.
Nabi Yunus juga memberi nasihat kepada mereka tentang kebodohan mereka
menyembah berhala sedangkan berhala itu adalah hasil buatan manusia. Nabi Yunus
menasihatkan mereka bahawa berhala tersebut tidak dapat memberi apa-apa manfaat
kerana berhala itu tidak boleh bergerak dan berkata- kata. Nabi Yunus
mengingatkan mereka supaya menyembah Allah s.w.t yang telah menciptakan manusia
dan Allah sajalah yang wajib ditaati.
Oleh kerana
ajaran yang di bawa oleh Nabi Yunus itu ajaran baru, maka tidak ramai manusia
yang mahu menerimanya. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala yang di
sembah oleh datuk nenek mereka secara turun temurun. Walaupun Nabi Yunus memberi
nasihat, tetapi mereka tetap berkeras dengan berkata "Ini adalah Tuhan
kami (yakni berhala-berhala), datuk nenek kami telah lama menyembah tuhan-tuhan
kami dan kami tetap tidak akan berganjak dari meninggalkan agama kami".
Nabi Yunus
berkata "Aku hanya menyampai apa yang Allah menyuruh aku sampaikan kepada
kamu semua, oleh itu kamu beriman dan bertauhidlah menurut agama yang aku bawa
sebagai amanat Allah s.w.t". Berkata Nabi Yunus lagi "Aku ini
hanyalah pesuruh yang mana Allah s.w.t telah perintahkan kepadaku supaya
menyelamatkan kamu semua daripada lembah kesesatan dan lembah kegelapan serta
menyiarkan kepada kamu tentang agama yang suci bersih lagi murni dan
membersihkan hati-hati kamu dari kufur dan syirik, demi untuk kebaikan kamu di
dunia dan di akhirat."
Walaupaun
Nabi Yunus telah memberi nasihat serta pengajaran supaya kembali ke pangkal
jalan, mereka tetap dengan pendiriannya dan berkata "walau apa sekalipun
kamu katakan kepada kami, kami tetap tidak akan berganjak dari agama kami dan
kami juga tidak takut walau apa pun ancaman yang kamu katakan dan kalau mahu
cubalah datangkan ancaman itu kepada kami, kalau kamu memang orang yang
benar."
Setelah Nabi
Yunus melihat keadaan mereka yang tidak menerima peringatannya itu, maka Nabi
Yunus pun meninggalkan Niwana dengan rasa amat marah. Nabi Yunus berdoa kepada
Allah supaya mereka yang keras kepala menerima hukuman yang sewajarnya. Sejak
Nabi Yunus meninggalkan Niwana mereka gelisah melihatkan perubahan yang berlaku
di tempat tinggal masing-masing.
Penduduk
melihat Niwawa mengalami kegelapan, binatang peliharaan mereka juga seperti
tidak tenteram dan di tambah pula dengan angin yang sangat kuat serta guruh
yang mengegarkan. Dengan berlakunya perkara-perkara ini maka tahulah mereka
bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus itu adalah ajaran yang benar dan
bukan satu ajaran yang direka. Akhirnya mereka menyesal dan keluar
beramai-ramai dari kota pergi ke bukit lalu meminta ampun dan rahmat Allah
s.w.t agar dijauhkan daripada sebarang malapetaka.
Allah s.w.t
Maha Mengetahui akan hambaNya yang menyesal dan mohon ampun dariNya, maka Allah
s.w.t pun menerima permintaan mereka, lalu Niwana yang gelap bertukar menjadi
cerah, binatang ternakan tidak lagi dalam ketakutan dan mereka kembali tenang.
Akhirnya mereka semua kembali dengan bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah
menyelamatkan mereka dari bahaya malapetaka. Nabi Yunus telah meninggalkan
Niwana membawa diri tanpa tujuan.
Baginda naik
bukit turun bulit, naik gunung turun gunung dan akhirnya ia sampai di pantai.
Kebetulan pada masa itu dia melihat sebuah kapal hendak belayar, maka dia pun
menghampiri pemilik kapal itu untuk turut serta belayar bersamanya. Setelah
diberi keizinan maka Nabi Yunus menumpang kapal tersebut. Dalam pelayaran itu,
kapal yang ditumpangi Nabi Yunus telah dilanda ribut taufan yang kuat.
Oleh itu
kapten kapal telah memutuskan supaya barang yang dibawa hendaklah dikurangkan.
Ini termasuk penghuni kapal kapal tersebut. Satu pengundian telah dibuat dan
dalam undian tersebut Nabi Yunus dipilih sebagai orang yang harus dibuang ke
laut. Oleh sebab Nabi Yunus adalah orang yang sangat dihormati dan disanjung,
maka mereka mengadakan pemilihan sekali lagi dan kali kedua Nabi Yunus tetap
terpilih.
Maka mereka
mengundi sekali lagi dan akhirnya Nabi Yunus tahu bahawa ia adalah kehendak
Allah. Nabi Yunus memikirkan kesalahannya kerana meninggalkan Niwana tanpa
mendapat persetujuan Allah. Ia berfikir keputusan undi itu adalah disebabkan
untuk menebus dosa yang telah dilakukannya. Nabi Yunus beristikharah, tanpa
ragu-ragu Nabi Yunus terjun ke dalam laut yang sedang bergelombang ganas.
Ketika Nabi
Yunus sedang berlawan dengan gelombang, maka Allah s.w.t mengarahkan seekor
ikan nun (yu) supaya menelan Nabi Yunus hidup- hidup, maka ikan nun yang muncul
itu pun menelan Nabi Yunus dan menyimpannya dalam perut tanpa ada
cacat-celanya. Ketika Nani Yunus berada dalam perut ikan nun dia berdoa kepada
Allah supaya mengampuni dosa yang telah dilakukan. Lalu Nabi Yunus membaca doa:
"Tidak ada Tuhan yang benar di sembah hanya Engkau ya Allah, mahasuci
Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku."
Maka Allah
perkenankan permintaannya dan Allah lepaskan dia daripada kedukaan. Demikianlah
Allah selamatkan orang yang beriman. Rasulullah bersabda maksudnya:
"Nama
tuhan yang mulia, siapa yang berdoa dengan nama itu akan diperkenankan doanya.
Siapa yang meminta dengan nama itu, akan diberi apa yang diucapkan oleh Nabi
Yunus dalam perut ikan nun." Firman Allah bermaksud "Jika tidak
kerana dia (Nabi Yunus) daripada orang yang selalu mengucapkan tasbih, nescaya
tidaklah ia dapat keluar dari perut ikan sampai hari kiamat."
Setelah
beberapa lama Nabi Yunus berada dalam perut ikan nun, maka Allah pun
melemparkan Nabi Yunus ke darat. Di tempat Nabi Yunus dilemparkan Allah
menghidupkan pokok labu yang dapat Nabi Yunus bernaung di bawahnya dan dapat
pula ia makan buat tersebut dan kembali segar. Ketika Nabi Yunus dilemparkan ke
darat keadaannya amat letih.
Setelah Nabi
Yunus berasa segar kembali maka Allah telah memerintahkannya supaya kembali ke
Niwana. Nabi Yunus terkejut kerana penduduk sedang menanti kepulangannya.
Penduduk tersebut meminta Nabi Yunus mengajar untuk menyempurnakan akidah dan
imam mereka. Nabi Yunus berasa hairan kerana penduduk Niwana dahulunya terdiri
daripada orang yang ingkar dengan perintah Allah tetapi kini hidup dan mati
mereka semata-mata kerana Allah.