'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi
tubuh badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat
menenggelamkan negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut tidak
dapat melebihi lututnya. Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung.
Apabila dia merasa lapar, dia akan menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk
menangkap ikan kemudian memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah
atas sesebuah negeri, maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah
penduduk negeri itu tenggelam di dalam air kencingnya.
Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj
bermaksud untuk membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu. Kemudian 'Auj
datang untuk memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa a.s., maka dia mendapati
beberapa tempat kediaman askar Nabi Musa itu tidak jauh dari tempatnya.
Kemudian dia mencabut gunung-gunung yang ada di sekitarnya dan diletakkan di
atas kepalanya supaya mudah untuk dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s.
Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang dijunjung di atas
kepalanya kepada askar-askar Nabi Musa a.s, Allah telah mengutuskan burung
hud-hud dengan membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung yang
dijunjung oleh 'Auj. Dengan kekuasaan Allah, berlian tersebut menembusi gunung
yang dijunjung oleh 'Auj sehinggalah sampai ke tengkuknya. 'Auj tidak sanggup
menghilangkan berlian itu, akhirnya 'Auj binasa disebabkan batu berlian itu.
Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a.s adalah empat puluh hasta dan
panjang tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya kepada 'Auj
tepat mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan kehendak Allah
S.W.T dan akhirnya tidak dapat lari daripada kematian sekalipun badannya tinggi
serta memiliki kekuatan yang hebat.