Dicelah-celah kita mengkaji
sirah tentang kehebatan kehidupan insan agung bernama Muhammad bin Abdulllah,
Rasul utusan Allah kepada kita , kesetiaan Abu Bakar As-siddiq, ketegasan Umar
Al-Khatab dan kisah Saidina Ali yang bersemangat, terselit kisah-kisah wanita
hebat dizaman Rasulullah s.a.w. Mungkin kisah-kisah sahabiah ini jarang kita
dengar, namun disebalik kisah sahabiah ini terselit seribu satu pengajaran
untuk menjadi contoh ikutan buat kita yang mendamba syurga dan redha Allah.
Kali ini saya memilih kisah Ummu
Salamah r.a, mari kita membaca dan menghayati kisah hidup wanita mulia ini.
Wanita yang kesabaran dan ketabahannya membuahkan balasan yang agung.
Imam Adz-Dzahabi menjelaskan
identiti Ummu Salamah;
“ Ummu Salamah adalah wanita
terhormat, berhijab dan suci. Namanya Hindun binti Abu Umayyah bin Mughirah bin
Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqzhah bin Murrah Al-Makhzumiyah. Ummu
Salamah merupakan sepupu kepada Khalid bin Walid yang digelar Pedang Allah dan
Abu Jahal bin Hisyam. Dia termasuk wanita yang pertama kali berhijrah. Sebelum
menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w, Ummu Salamah menikah dengan Abu Salamah bin
Abdul Asad Aal-Makhzumi, seorang lelaki yang soleh.”
Mari
kita melirik sejenak kehidupan Ummu Salamah sebelum kedatangan islam. Ummu
Salamah adalah seorang wanita yang sangat terhormat dan mulia, berasal dari
keluarga yang terhormat kerana beliau berasal dari bani Makhzum. Ayahnya juga
adalah seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah dan selalu memberi bekal
kepada musafir yang kehabisan bekal. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang
dermawan membuatkan Ummu Salamah menjadi seorang yang dermawan, mempunyai hati
yang bersih serta sangat menghayati erti belas kasihan sehingga memancarlah kebaikan
dan kemurahan hatinya kepada manusia.
Sejak kecil lagi Ummu Salamah
sudah menampakkan keperibadian yang kuat untuk menjadi wanita terhormat. Beliau
juga memiliki rupa paras yang cantik jelita. Setelah meningkat dewasa, Ummu
Salamah dipinang oleh Abdullah(Abu Salamah) bin Abdul Asad bin Hilal bin
Abdullah bin Umar bin Makhzum. Abu Salamah merupakan seorang pemuda Quraisy
yang terkenal dengan kesatriaan beliau menunggang kuda, beliau juga saudara
sesusu Nabi Muhammad s.a.w. Pernikahan Hindun (Ummu Salamah) dan Abu Salamah
dilangsungkan dan mereka hidup bahagia. Setelah Islam tersebar ke Mekah, Ummu
Salamah dan suaminya termasuk antara yang segera beriman kepada Allah s.w.t
.
Ketika hendak berhijrah ke
Madinah, Ummu Salamah dan suaminya mengalami peristiwa yang amat memilukan.
Ketika Abu Salamah, Ummu Salamah dan putera mereka, Salamah bin Abu Salamah
sedang bersiap sedia mahu ke Madinah, berlaku pergaduhan antara keluarga bani
Asad dan Bani Mughirah. Keluarga bani Mughirah (keluarga Ummu Salamah) tidak membenarkan
Abu Salamah membawa Ummu Salamah pergi ke Madinah manakala bani Asad ( keluarga
Abu Salamah) pula tidak membenarkan anak mereka ( Salamah) bersama
Ummu Salamah. Setelah itu keluarga bani Mughirah dan bani Asad merebut putera
mereka dan keluarga bani Asad berjaya mendapatkan putera Ummu Salamah. Ummu
Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ( bani Mughirah), anaknya dibawa oleh
keluarga suaminya (bani Asad) manakala suaminya, Abu Salamah meneruskan
perhijrahan ke Madinah. Maka Ummu Salamah terpisah dengan anak dan suaminya.
Namun begitu Ummu Salamah diberi kesabaran yang tinggi untuk terus sabar
melalui ujian itu.
Sejak terpisah dengan suami dan
anaknya, setiap pagi Ummu Salamah akan pergi ke tanah lapang dan duduk sambil
menangis. Hal itu dilakukan selama setahun sehingga pada suatu hari seorang
sepupunya dari bani Mughirah melihatnya dan berkata kepada keluarga bani
Mughirah yang lainya;
“ Tidakkan kalian merasa
simpati terhadap wanita malang itu? Kalian telah memisahkannya dari suami dan
anaknya.”
Tidak lama selepas itu keluarga
bani Mughirah membenarkan Ummu Salamah pergi mencari suaminya di Madinah.
Keluarga bani Asad juga mengembalikan puteranya, Salamah kepada Ummu Salamah.
Lalu Ummu Salamah mengeluarkan untanya dan membawa bersama puteranya keluar
mencari suaminya. Beliau memulakan perjalanan sendirian bertemankan puteranya
yang masih kecil, namun pergantungannya kepada Allah sentiasa melebihi
segala-galanya.Di dalam perjalanan, beliau bertemu dengan Utsman bin Thalhah
dan Utsman membantu perjalanannya sehingga beliau bertemu dengan suami
tercinta, Abu Salamah. Setelah bertemu dengan suaminya di Madinah, Ummu Salamah
hidup bahagia dan dapat beribadah dengan tenang dan bertaqwa serta menggali
setiap bentuk kebaikan daripada Rasulullah s.a.w. Ummu Salamah berusaha
keras mendidik empat anaknya ( Zainab, Umar, Salamah dan Durrah) dengan
menanamkan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah.
Ummu Salamah sangat menyokong
suaminya untuk berjuang di medan jihad. Beliau setia menyembuhkan luka-luka
pada badan suaminya seusai peperangan,sehinggalah suaminya mengalami kecederaan
teruk ketika perang Uhud. Ketika terbaring menanti detik kematian, terjadilah
perbualan yang sangat mengharukan antara Abu Salamah dan Ummu Salamah. Ziyad
bin Abu Maryam menuturkan, saat itu Ummu Salamah berkata,
“Aku mendengar bahawa jika
seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi
penghuni syurga, lalu isterinya tidak menikah lagi, maka Allah akan
mengumpulkan mereka kembali di dalam syurga. Kerana itu aku bersumpah bahawa
engkau tidak akan menikah lagi (seandainya aku yang mati terlebih dahulu) dan
aku tidak akan menikah lagi setelah engkau mati.”
Abu Salamah berkata, “Adakah
engkau mahu taat kepadaku?”
Ummu Salamah menjawab, “ya.”
Abu Salamah berkata, “ Jika
aku mati terlebih dahulu maka menikahlah lagi. Ya Allah, jika aku mati maka
berilah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan
membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.”
Tidak lama selepas itu, Abu
Salamah meninggal dunia. Allah memakbulkan doa Abu Salamah apabila setelah
kematian Abu Salamah, Allah mendatangkan insan paling mulia kepada Ummu
Salamah. Setelah kematian suaminya, Rasulullah s.a.w telah datang meminang Ummu
Salamah. Ummu Salamah berkahwin dengan Rasulullah s..a.w dan termasuk dalam
keluarga yang mulia dan suci. Betapa Allah mengagungkan Ummu Salamah, keagungan
yang tiada tolak bandingnya dengan dunia dan seluruh isi dunia. Ummu Salamah
menjalani kehidupan yang sangat bahagia dan barakah bersama Rasulullah s.a.w.
Ummu Salamah menjadi seorang isteri yang sangat baik kepada Rasulullah s.a.w.
Beliau banyak membantu dakwah Rasulullah s.a.w kerana beliau memiliki pemikiran
yang bernas. Diceritakan dalam satu kisah ketika perjanjian Hudaibiyah,
setelah selesai menandatangani perjanjian damai dengan kaum musyrik,
Rasulullah s.a.w berkata kepada para sahabatnya,
“ Bersiap-siaplah,
sembelihlah haiwan-haiwan korban kalian dan cukurlah rambut kalian.”
Namun, saat itu tidak ada
seorang pun sahabat yang berdiri dan melaksanakan perintah baginda walaupun
perintah itu diulang sebanyak tiga kali oleh Rasulullah s.a.w. Melihat tidak
ada tindakan dari pihak sahabatnya, Rasulullah lantas masuk ke khemah dan
menemui Ummu Salamah, menceritakan kejadian tersebut. Disinilah Ummu Salamah
memainkan peranannya dengan baik sekali. Wanita yang punya pemikiran yang hebat
ini menyelamatkan para sahabat dari derhaka kepada Rasulullah s.a.w. Ummu
Salamah berkata;
“ Wahai Nabi Allah, apakah
engkau ingin sahabat-sahabatmu mengerjakan perintahmu? Keluarlah dan jangan
berbicara dengan siapa pun sebelum engkau menyembelih haiwan korbanmu,
memanggil pencukur untuk mencukur rambutmu.”
Rasulullah s.a.w mengikut
saranan Ummu Salamah. Baginda keluar tanpa berbicara dengan siapa pun lalu
menyembelih haiwan korbannya serta mencukur rambutnya. Ketika para sahabat
melihat tindakan baginda, para sahabat lantas bangkit dan menyembelih haiwan
korban mereka serta mencukur rambut mereka.
Ummu Salamah juga sangat
menyayangi orang-orang yang ada disekelilingnya. Beliau akan sentiasa bahagia
jika dapat memberi khabar gembira kepada orang sekelilingnya. Beliau juga yang
menyampaikan khabar kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya.
Ummu Salamah juga pernah memujuk Rasulullah untuk memaafkan Abu Sufyan bin Harits
dan Abdullah bin Abu Umayyah. Ketika mereka berdua ingin menemui Rasulullah
s.a.w di Abwa’, mereka berusaha mengadap baginda namun ketika melihat
kedatangan mereka, Rasulullah lantas memalingkan muka kerana tidak dapat
menerima perlakuan mereka selama ini yang sangat menyakitkan baginda. Namun
Ummu Salamah bertindak memujuk Rasulullah dengan berkata;
“ Wahai Rasulullah,
bagaimanapun mereka bukanlah orang yang paling menyakitimu selama ini.”
Imam Adz-Dzahabi menyebut sifat
Ummu Salamah;
“ Dia dianggap salah seorang
ulama generasi sahabat.”
Bagaimana Ummu Salamah tidak
mencapai darjat setinggi itu, setiap saat beliau mendengar langsung bacaan
al-quran daripada Rasulullah dan mendengar kata-kata Nabi s.a.w dari lisan
baginda. Ummu Salamah juga menjadi rujukan para sahabat dalam beberapa
persoalan hukum dan fatwa, terutama persoalan yang berkaitan dengan wanita.
Ummu Salamah juga meriwayat 378 hadis yang dihafalnya dengan baik.
Ummu Salamah meninggal dunia
ketika usianya sekitar 90 tahun dan sempat berada dalam dalam pemerintahan
Khulafah ar-Rasyidin hingga pemerintahan Yazid bin Mu’awiyyah. Imam Adz-Dzahabi
berkata;
“ Dia adalah Ummul Mukminin
yang paling akhir meninggal dunia.”
Demikianlah diceritakan kisah
hidup wanita agung, Hindun atau dikenali sebagai Ummu Salamah. Betapa kemuliaan
akhlaknya, kesucian hatinya dan ketabahannya menjalani ujian kehidupan
menjadikan beliau insan yang diagungkan darjatnya oleh Allah s.w.t. sehingga
diberi tempat oleh Allah s.w.t. menjalani kehidupan yang barakah bersama insan
semulia Rasulullah s.a.w. Betapa kematangan pemikiran beliau menyumbang kepada
kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w.Semoga ketabahan hatinya, kesetiaannya kepada
insan tersayang, kesuciaan hatinya, kesungguhannya mendidik sifat taqwa dalam
diri, kesungguhannya menanamkan rasa cinta anak-anaknya kepada Allah dan
Rasullah menjadi teladan buat kita yang sentiasa mendamba redha Ilahi. Semoga
Allah meredhai Ummu Salamah dan menjadikan syurga firdaus sebagai tempat
persinggahan terakhir buat beliau.
1. Silahkan masukkan komentar
2. Berkomentar dengan kata-kata yang santun
3. Jangan menggunakan kata-kata kotor
4. Jika anda tidak suka dengan yang kami sajikan, lebih baik jangan di baca
5. Tinggalkan link web/blog anda agar admin bisa visit back
6. Jadilah pengunjung yang baik
7. Kami hanya memberikan informasi dari sumber-sumber yang bisa admin percaya.
8. Maaf jika ada salah satu artikel tidak ada sumbernya.
EmoticonEmoticon